Jumaat, 19 Mac 2010

Iktibar 'ribut' dari Qaryah

Menarik untuk diimbas kembali tindakan-tindakan anak-anak Qaryah Pondok Upeh dan organisasi-organisasi kepimpinan masyarakat Pondok Upeh apabila menangani 'ribut' dari Qaryah tempoh hari untuk dijadikan iktibar di masa-masa akan datang.
Ada organisasi yang sepatutnya berperanan aktif tetapi menjadi seperti Kupang Tembaga, gah tetapi tak gagah- membisu dan kelu dengan penjelasan dan tindakan. Imam yang saban Jumaat berkhutbah menasihati anak Qaryah di mimbar menjadi kelu apabila turun dari tangga mimbar dan semasa bermasyarakat sedangkan Nabi Muhammad yang mulia adalah imam yang merah mukanya apabila berkhutbah dan menjadi panglima di medan perang. Dalam Perang Uhud, patah gigi nabi dipukul munafikin dan kafirin.
Ada yang mencari hukum dari kitab bukan mencari cara terhikmah untuk bertindak tetapi untuk mencari dalih yang menghalalkan mereka untuk tidak berbuat apa-apa. Imam Malik rela dipenjara dan dipukul teruk demi mempertahankan prisip kebenaran hukum Islam. Malah kematian Imam Malik kesan dari deraan semasa dipenjara.
Ada yang keliru lalu menjadi kalut untuk membuat buat laporan polis terhadap surat gesaan kepada anak-anak qaryah untuk bertanya kisah sebenar dari empunya diri apa sebenarnya yang berlaku tetapi tidak kalut pun untuk membuat laporan kepada pejabat agama untuk menyiasat kesahihan berita tersebar supaya kebenaran terserlah.
Semua yang telah berlaku sewajarnya menjadi pengajaran dan plan tindakan apabila masalah-masalah masyarakat berbangkit selepas ini.
Menarik untuk diperhati cara cucu-cicit Hitler di era moden dalam menangani masalah skandal penderaan seks di Gereja Katolik seperti dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 19 Mac 2010.
Canselor Jerman, Angela Markel berkata:
"...satu-satu cara supaya masyarakat menerimanya adalah dengan mengetahui segala apa yang berlaku."
Bagaimana cara kita menangani 'ribut Qaryah' tempoh hari? Adakah kita membuka ruang seluasnya untuk masyarakat 'mengetahui segala apa yang berlaku'? Kita faham sekiranya skandal gereja tersebut timbul di era Nazi, pasti Hitler akan menghukum bunuh kepada yang berani bertanya dan mambangkit isu yang memalukan negara Jerman.Tetapi lihatlah tindakan cucu-cicit Hitler yang moden dalam menangani masalah masyarakat Jerman. Adakah kita masih berfikir dan bertindak seperti bangsa Jerman semasa era Nazi walaupun badan kita hidup dalam dunia moden dan ketika cucu-cicit Hitler telah lama meninggalkan fahaman Hitler? Atau adakah kita lebih teruk dari penganut agama Kristian Katolik ini dari aspek keterbukaan untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit dalam masyarakat.
Masyarakat Pondok Upeh wajar ambil iktibar untuk bergerak maju ke hadapan. Kita tidak mahu terus berada di tahap kedaifan ini untuk selamanya. Kita mesti berani berubah demi kemuliaan dan kecemerlangan kita dan generasi selepas kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan