Khamis, 11 Mac 2010

Perubahan ke arah kemuliaan : Cabaran sepanjang zaman

Kehebatan dan kerosakan manusia sepanjang zaman dirakam dengan terperinci oleh Al-Quran. Penerangan tambahan oleh Nabi s.a.w memudahkan kefahaman kita.Kesukaran dan cabaran yang dihadapi Nabi Adam sejak awal kejadian seterusnya kisah nabi-nabi yang lain hingga ke nabi terakhir Muhammad s.a.w terakam dengan rapi malah hingga kini tiada pihak boleh mempertikaikannya. Maka kita jadikan ia sebagai panduan apabila kitaran masalah yang sama berlaku pada zaman kita dan pada masyarakat kita.
Masalah penyebaran berita salah laku moral Pengerusi Qaryah Masjid Pondok Upeh mesti diurus dengan hikmah. Masalah semakin kusut apabila tiada penjelasan rasmi dibuat untuk menerangkan kisah sebenar. Pengerusi Qaryah menyepikan diri. Para Imam membisu. AJK Qaryah kelu. Masyarakat tertanya-tanya. Masalah ini seolah-olah hendak didiamkan dan hendak disimpan di bawah karpet masjid, akhirnya kita semua pijak dan melupainya. Inikah kaedah mengurus masalah yang melibatkan pimpinan tertinggi masyarakat yang betul?
Lebih dungu apabila laporan polis dibuat terhadap tulisan yang menggesa pemuda, orang-orang tua, AJK Qaryah, pimpinan kampung supaya bertanya dengan terus terang kepada pengerusi Qaryah apa sebenarnya yang berlaku. Tujuan gesaan itu supaya ada kepastian berita yang tersebar sama ada benar atau tidak. Jika tidak benar, kita hentikan fitnah yang memalukan ini. Jika benar, mengakulah dengan matang dan kita sama-sama baik pulih imej Pondok Upeh yang tercalar teruk ini. Dan jika berita itu benar, Pengerusi Qaryah wajar berundur kerana amanah moral. Adakah gesaan bertanya untuk mendapat kepastian satu kesalahan jenayah yang mesti dilaporkan kepada pihak polis? Kita masih duduk zaman batu kah? Jika ada yang masih berfikiran zaman batu, maafkan kami. Kami sudah lama keluar dari dunia yang terkurung itu. Kami kini hidup zaman yang mementingkan kepastian. Dunia tahyul dan ketakutan melulu telah lama kami tinggal.
Ada pula yang berkata gesaan untuk bertanya terus kepada Pengerusi Qaryah adalah satu tuduhan yang mesti disertakan dengan empat saksi yang adil. Jika gagal membawa empat saksi tuduhan dikembalikan kepada orang yang menuduh. Naif sungguh pandangan ini. Kita bukan menuduh. Kita cuma ingin bertanya untuk mendapat kepastian. Adakah nak tanya pun kena bawa empat saksi ke? Kita dah kembali ke Zaman Gelap ke? Zaman Gelap adalah satu zaman yang berlaku di Eropah sebelum berlaku Zaman Kebangkitan dan Zaman Kemajuan. Ketika Zaman Gelap, institusi agama berkuasa penuh dalam banyak aspek dan berlaku penyelewengan yang berleluasa dalam institusi agama. Setiap pertanyaan yang gagal dirungkai dan menyentuh kepentingan golongan jahat di institusi agama dianggap menyalahi agama dan mereka yang berani bertanya dituduh kafir. Fatwa agama diguna sebagai kubu terakhir untuk menegakkan benang yang basah. Adakah Pondok Upeh kembali ke Zaman Gelap ke? Maaf, kami kini tinggal dalam dunia terang lagi bersuluh! Tanya pun tak boleh ke?
Kita ingin melihat Pondok Upeh yang lebih mulia dan dihormati. Pondok Upeh yang dikenali kerana kerukunan masyarakatnya, keaktifan dan pengurusan Qaryah yang cekap serta bermanafaat kepada anak Qaryah. Bilakah keadaan itu akan berlaku? Marilah kita sama-sama berperanan ke arah itu walaupun kita tahu cabaran adalah teman setia perjuangan yang mulia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan